Tuesday 23 November 2010

Facebook medan meluahkan perasaan

RUANG dinding laman sosial seperti Facebook menjadi tempat menyuarakan apa saja pendapat dan rasa hati sama ada gembira dan sedih. Malangnya tanpa disedari ia mendedahkan aib sendiri.

Menurut pendakwah bebas, Zaharuddin Abd Rahman, terdapat beberapa kes yang dilihat sama ada secara langsung atau tidak langsung, pemilik Facebook meluahkan perasaan sedih, kecewa, benci, marah terhadap pasangan di ruang status mereka.

“Kemudian, status tersebut mendapat komentar daripada rakan-rakan. Sebagai contoh, ada yang secara terbuka mendesak suami membeli rumah, kereta, pinggan mangkuk, perabot, pakaian dan sebagainya melalui status mereka.

“Sebagaimana yang disebut oleh ramai ‘pakar’ dalam bidang rumah tangga, kebanyakan wanita suka berkongsi dan meluahkan perasaan mereka kepada orang lain sebagai pelepas kepada beban yang ditanggung. Adakalanya ia mungkin bukan bertujuan untuk membuka aib suami atau untuk mencari penyelesaian. Pendedahan itu hanya sebagai melepaskan tekanan dalam diri,” ujar kenyataannya yang dipetik dari laman web Zaharuddin.net.

Beliau yang juga pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) berkata, perbuatan tersebut tanpa disedari tergolong dalam mengumpat yang diharamkan oleh Islam.

“Semua perlu memahami bahawa mereka tidak boleh sewenangnya bercerita perihal rumah tangga atau pasangan mereka secara terbuka sama ada melalui Facebook atau kepada rakan di pejabat dan sebagainya.

Sebarang masalah yang sudah tidak dapat diselesaikan, hanya dibenarkan untuk diluahkan kepada seseorang yang diyakini punyai autoriti seperti ibu bapa, mertua dan adik beradik yang diyakini boleh berperanan membantu, bukan berpotensi mengeruhkan lagi keadaan.

“Boleh juga dikongsikan secara tertutup kepada pihak ketiga seperti saudara-mara pihak atau pihak kaunselor rumah tangga.

“Ingatlah semua, rumahtangga adalah amanah, jangan runtuhkannya hanya kerana Facebook,” nasihat Zaharuddin.

Perceraian meningkat angkara Facebook?

MEMANG belum ada satu kajian spesifik di negara ini yang boleh mengesahkannya,. Namun, jika dilihat secara rambang, jaringan sosial dalam Internet seperti Facebook, Twitter dan Myspace ternyata boleh mendatangkan mudarat kepada keharmonian rumah tangga jika penggunaannya disertai dengan niat yang salah.

Gambaran terhadap kes ini dapat dilihat daripada jumlah kes perceraian yang meningkat tahun demi tahun.

Timbalan Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Othman Mustafa berkata, sebanyak 27,110 kes perceraian telah direkodkan daripada 135,136 perkahwinan yang telah didaftarkan pada tahun 2009.

Punca utamanya ialah pasangan gagal menjalankan tanggung jawab masing-masing. Walaupun tidak diperincikan bentuk kegagalan tersebut, sedikit sebanyak jelas pengabaian tanggung jawab itu memang ada hubung kait dengan ‘ketagihan’ sama ada suami atau isteri dengan laman web sosial masing-masing.

Ini hasil daripada temu bual ringkas yang penulis sendiri jalankan dengan beberapa rakan yang juga dikenali menerusi laman web Facebook.

Itu tidak termasuk kes-kes nyaris bercerai kerana salah faham dan cemburu dari hasil hubungan sama ada suami atau isteri di laman Facebook masing-masing.

Di Amerika Syarikat, satu kaji selidik dari Akademi Pengacara Perkahwinan Amerika (AAML) harus diberi perhatian. Hasil kajian mereka menemukan bukti jumlah perceraian meningkat gara-gara aktiviti suami atau isteri di Facebook, Myspace dan Twitter.

Presidennya, Marlene Eskind Moses, dipetik sebagi berkata, sebarang komen yang diletakkan oleh bekas pasangan akan gunakannya sebagai bukti di mahkamah.

Kajian tersebut juga mendapati pasangan yang sedang dalam proses perceraian atau perebutan hak penjagaan anak akan turut mengadu hal tersebut pada rakan di jaringan sosial.

“Dalam satu kes yang pernah berlaku, seorang wanita yang bercerai ingin menuntut hak penjagaan anaknya telah kehilangan hak tersebut kerana dia memberitahu mahkamah dia sudah bertunang dengan pasangan baru.

“Padahal di Facebook dia mengatakan dia sudah berpisah dengan teman lelaki yang suka menderanya dan kini sedang mencari lelaki kaya sebagai ganti.

“Saya memang terkejut bagaimana seorang itu tidak berfikir dahulu sebelum menaip di Facebook masing-masing terutama mereka yang dalam proses perbicaraan mahkamah,” kata Naib Presiden AAML, Kenneth Altshuler.

Mengikut perincian yang diperolehi daripada data kajian AAML, 66 peratus kes perceraian adalah dari Facebook, Myspace 15 peratus dan Twitter (lima peratus).

Maka tidak hairanlah, beberapa ulama Mesir mengeluarkan fatwa mengharamkan Facebook, kerana kesan negatifnya kepada pasangan suami isteri.

Gula ada manfaatnya

BIASANYA gula hanya dikaitkan dengan penyebab pelbagai jenis penyakit terutama diabetes. Namun tidak ramai yang mengetahui gula juga mempunyai manfaat tersendiri.

Bukan dari segi penggunaan dalam makanan atau minuman, kerana jika terlebih kandungan, ia pasti memudaratkan.

Perlu diingat, gula tidak mengandung vitamin, serat dan hanya mengandungi sejumlah kecil mineral.

Kandungan kalori pula cukup banyak, sekitar 394 kkal dalam 100 gram bahan. Boleh dikatakan gula langsung tiada nutrisi kerana semua bahan yang bernilai seperti vitamin, mineral dan sebagainya hilang selama proses penghasilan gula putih.

Dalam dunia kecantikan, penggunaan gula telah lama dipraktikkan masyarakat dahulu kala sebagai salah satu rawatan alami. Gula boleh diolah menjadi aneka produk kecantikan khususnya untuk melembutkan kulit. Dikatakan ia mengandungi zat pelembut yang mampu menghilangkan sel-sel kulit mati.

Masyarakat Romania misalnya menggunakan campuran madu, gula dan susu untuk merawat kulit. Caranya adalah dengan mencampurkan bahan tadi dan kemudian ia dilumur pada tubuh. Selepas kering ia disental lalu dibilas dengan air.

Wanita Mesir purba pula menggunakan campuran gula organik dan lemon untuk dijadikan penyental bagi mendapatkan kulit yang halus dan putih.

Dalam perubatan Cina pula, gula batu banyak dicampur dalam minuman herba yang baik untuk kesihatan. Ia dikatakan bermanfaat membantu membuang panas badan dan juga melegakan batuk serta kahak.

Cubalah sendiri, pasti anda menyedari manfaat gula dalam kehidupan sehari!

Pembesaran kanak-kanak sihat

Kesihatan dan kesejahteraan kanak-kanak yang menyeluruh bukan saja ditentukan melalui pertumbuhan fizikal yang baik, perkembangan mental yang sihat juga sama pentingnya.

"Kanak-kanak yang sihat mental mampu meluahkan perasaan, lebih yakin dengan diri, boleh menyayangi dan mempercayai orang lain dan boleh menyesuaikan diri dengan keperluan hidup dengan positif," kata pakar perunding psikiatri Dr Yen Teck Hoe.

Tambah Dr Teck Hoe, sistem pendidikan kini terlalu menekankan pencapaian akademik menyebabkan kanak-kanak lebih tertekan dan mengganggu perkembangan mental serta emosi mereka.

Pemakanan

Menurut Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) III 2006, terdapat kira-kira 20 peratus kanak-kanak (berumur antara 1-18 tahun) yang mengalami malnutrisi di seluruh negara.

Statistik juga menunjukkan kira-kira 15 peratus kanak-kanak kurang berat badan manakala 5.4 peratus terlebih berat badan. Kumpulan kanak-kanak yang paling banyak mengalami masalah pemakanan adalah yang bersekolah rendah.

"Malnutrisi adalah keadaan yang berpunca daripada diet yang tidak seimbang. Ia termasuklah kekurangan pemakanan, di mana kalori dan sesetengah nutrien penting tidak diambil dengan mencukupi atau terlebih pemakanan, di mana pengambilan kalori dan sesetengah nutrien melebihi jumlah yang diperlukan," terang pakar pemakanan Profesor Madya Dr Norimah A Karim.

Kecederaan & penyakit

Menurut statistik kebangsaan 2006, kadar kematian kanak-kanak di bawah usia lima tahun, termasuk bayi baru lahir adalah 7.2 bagi setiap ribu kelahiran hidup; dengan kebanyakan kematian berlaku pada tahun pertama.

"Kebanyakan kemalangan boleh dielakkan sekiranya ibu bapa lebih sedar akan penyebab kemalangan dan lebih peka ketika anak-anak mereka bermain di luar," kata pakar perunding pediatrik dan kardiologi pediatrik Datuk Dr Zulkifli Ismail.

Menjadi ibu bapa yang lebih baik

Salah satu cara untuk mempelajarinya adalah melalui perbincangan dengan doktor kanak-kanak. Satu lagi saluran adalah melalui program pendidikan dengan pakar, seperti Program Pengasuhan Positif yang memberikan maklumat, pengetahuan dan nasihat berkenaan asuhan dan penjagaan kanak-kanak.

Popular Posts

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails