Friday 11 March 2011

Ambil ubat herba antara punca sakit buah pinggang?

ALOR SETAR 11 Mac – Masyarakat di negara ini diingatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan ubat-ubat herba yang dijual di pasar atau kaki lima kerana dikhuatiri mengandungi racun yang boleh menyebabkan sakit buah pinggang.

Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr Marzukhi Md Isa berkata, penyakit buah pinggang bukan terjadi dengan sendiri tetapi antaranya disebabkan pemakanan ubat herba yang dijual tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Sebenarnya dalam ubat herba yang dijual itu mempunyai banyak racun yang kita tidak tahu, mungkin kita selesa makan ubat itu, tapi tanpa kita sedari ubat itu menjadi penyebab sakit buah pinggang.

"Masyarakat jangan terlalu mudah terpengaruh dengan herba-herba yang dijual kerana ia akan mendatangkan penyakit, ada ubat-ubat herba itu berdaftar dengan KKM tetapi ia tidak mendapat kelulusan KKM, itupun perlu diambil berat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jalan Sihat Hari Buah Pinggang Sedunia 2011 Peringkat Negeri Kedah di sini hari ini.

Selain itu, katanya cara hidup masyarakat sekarang juga mendorong kepada sakit buah pinggang.

"Cara pemakanan yang tidak sihat akan menyebabkan mereka mendapat kencing manis, dan secara tidak langsung ia turut melibatkan sakit buah pinggang dan jantung,” kata Marzukhi. – Bernama

Popular Posts

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails