Saturday, 19 November 2011

Air disahkan tercemar bakteria E.coli

KUALA LUMPUR 19 Nov. - Uji kaji makmal terhadap sampel air di Kelantan pada setiap tahun oleh Kementerian Kesihatan bukan saja mendapati ia mengandungi logam-logam berat malah bakteria berbahaya termasuk E.coli.

Lebih membimbangkan, E.coli turut ditemui dalam sampel air yang dibekalkan ke rumah-rumah oleh Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB).

Penemuan E.coli itu dalam sampel air dari Kelantan dikesan dalam uji kaji yang dijalankan kementerian itu dari 2008 hingga 2010.

Laporan Bilangan dan Peratusan E.coli dan Logam Berat Bagi Air Terawat dan Air Mentah Mengikut Daerah Negeri Kelantan 2008-2010 yang dibekalkan kepada Mingguan Malaysia oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Hasan Abdul Rahman.

Perlu ditegaskan bahawa kerajaan dan juga standard antarabangsa menetapkan bahawa bekalan air terawat mestilah bebas daripada bakteria E.coli.

Ini kerana, E.coli sangat berisiko kepada kesihatan manusia iaitu boleh menyebabkan cirit-birit, muntah, demam, najis berdarah dan paling bahaya ialah dehidrasi atau penyahhidratan yang membawa maut.

Sepanjang tahun lalu sahaja, 11 kes pencemaran E.coli membabitkan air AKSB direkodkan kementerian di Tanah Merah, diikuti Jeli (lapan kes), manakala Pasir Puteh dan Kuala Krai masing-masing dengan tujuh kes.

Beberapa syarikat pengendali air negeri lain memberitahu Mingguan Malaysia, pencemaran bakteria E.coli dalam air terawat iaitu air yang telah melalui loji rawatan, selalunya berpunca daripada kekurangan klorin.

Bagi kes kandungan E.coli dalam air mentah pula, pada 2010 Pasir Puteh mencatat peratusan kes tertinggi iaitu 17.31 peratus, diikuti Gua Musang (16.67 peratus) dan Tanah Merah (11.97 peratus).

Kehadiran banyak bakteria itu dalam sumber air mentah yang digunakan rakyat Kelantan dipercayai berpunca daripada ketiadaan sistem tangki septik (najis) yang sistematik di negeri itu sejak sekian lama dan ia merangkumi keseluruhan daerah termasuk Kota Bharu.

Disebabkan ketiadaan sistem tersebut dan kesukaran mendapat air terawat, kebanyakan masyarakat Kelantan menggali perigi pada jarak rata-rata kurang 50 meter dari tangki najis rumah masing-masing, menyebabkan berlaku serapan bakteria melalui air bawah tanah.

Dalam laporannya, kementerian turut mengesan pencemaran logam berat dan bakteria berbahaya tidak hanya terhad kepada air mentah dari sumber perigi, telaga tiub dan sungai semata-mata, tetapi turut merangkumi air yang dibekalkan AKSB.

Ancaman utama sekali lagi membabitkan mangan, arsenik serta bakteria e-coli disebabkan kegagalan AKSB mematuhi piawaian rawatan air selain kadar liputan air terawat kepada isi rumah Kelantan yang cukup rendah, iaitu hanya 57 peratus daripada 1.54 juta penduduk.

Dalam pada itu, pencemaran mangan dalam air mentah, hanya Bachok dan Tumpat yang bebas daripada pencemaran logam berkenaan untuk tempoh 2008 hingga 2010.

Kota Bharu, Machang, Pasir Mas, Pasir Puteh, Tanah Merah, Gua Musang, Kuala Krai dan Jeli dikesan mempunyai kandungan mangan melebihi piawaian dengan Kuala Krai mencatat pencemaran tertinggi sejak 2009.

Pencemaran mangan dalam air terawat yang dibekalkan AKSB juga tidak banyak bezanya apabila hanya empat daripada 10 daerah yang bebas pencemaran iaitu Machang, Bachok, Pasir Mas serta Pasir Puteh dan kawasan paling teruk tercemar adalah Kota Bharu.

Berbeza dengan ujian oleh Mingguan Malaysia bagi pencemaran arsenik untuk tahun ini, kementerian hanya mengesan pencemaran logam itu pada 2010 melibatkan air mentah dengan kawasan paling teruk juga di Kota Bharu.

Thursday, 10 November 2011

Amalan Untuk Mendapatkan Rezeki Yang Murah

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh


سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم


Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.


Sahabat yang dirahmati Allah,


Setiap manusia yang dilahirkan di dunia ini telah pun di tetapkan rezekinya samaada banyak atau sedikit sejak di dalam kandungan ibunya lagi. Keyakinan kepada rezeki yang datangnya daripada Allah SWT adalah merupakan salah satu daripada rukun iman yang ke 6 iaitu percaya kepada qada dan qadar.

Setiap rezeki manusia sudah ditetapkan oleh Allah. Jadi kita tidak perlu risau akan hal ini.

Allah SWT menyebut di dalam surah al-An’am, ayat 151 yang bermaksud : “Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka. (yakni anak-anak)”

Walaubagaimana pun kita perlu berusaha dan bertawakal kepada Allah SWT untuk memiliki rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT.


Terdapat beberapa amalan untuk mendapat rezeki yang murah. Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :


1. Jangan tinggalkan beribadah kepada Allah.

Pastikan solat 5 waktu dikerjakan pada waktunya, sebaik-baiknya secara berjemaah.


Firman Allah SWT dalam hadis qudsi yang maksudnya : "Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembahku nescaya aku membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu". (Hadis Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah, dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a)


2. Memperbanyakkan istighfar .

Memohon kepada Allah, merintih dan mengaku kesalahan di hadapan Allah SWT boleh menjadi sebab Allah SWT akan bertambah kasih kepada kita.

Firman Allah SWT maksudnya : “Mohonlah ampunlah kepada Rabb kalian, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat (melimpah ruah membawa kebaikan), dan membanyakkan harta dan anak-anakmu, dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai (yang penuh dengan kebaikan dan manfaat).” (Surah Nuh ayat 10 – 12)


Sabda Nabi S.A.W. " Barangsiapa memperbanyak istighfar maka Allah akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka. (Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa'i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a)



3. Meninggalkan perbuatan dosa.

Setakat beristighfar sahaja tidak mencukupi kalau masih melakukan dosa.

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Tidak bertambah umur seseorang kecuali jika dia melakukan kebaikan, dan tidak akan ditolak qadar Allah (iaitu qadar al-Mu’allaq) kecuali melalui doa, dan sesungguhnya seseorang itu ditahan rezekinya disebabkan dosa-dosa yang sentiasa dilakukannya” ( Hadis Riwayat Ibn Majah, Ahmad Hadis Hasan)


Sabda Rasulullah S.A.W : "...dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya" (Hadis Riwayat At-Tirmizi)


4. Banyak ingat Allah.


Sumber rezeki dalam bentuk ketenangan yang Allah SWT janjikan dalam firmannya dalam surah Ar-Ra'd, ayat 28 yang bermaksud : "...ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram"


5. Berbakti dan mendoakan kedua ibu bapa.


Dalam hadis riwayat Imam Ahmad boleh memanjangkan umur dan di murahkan rezeki. “Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya.” (Hadis Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim)


Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud : “Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah ) daripadanya.” (Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)


6. Berbuat baik dan menolong orang yang lemah

Membantu orang yang memerlukan bantuan seperti orang tua, orang sakit, anak yatim, orang fakir miskin, isteri dan anak-anak. Sabda Nabi SAW yang maksudnya : “Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu.” (Hadis Riwayat Bukhari)


7. Menyampaikan hajat orang lain.


Apabila kita menyampaikan hajat saudara kita maka Allah SWT akan membalasnya dalam bentuk tertunainya pula hajat kita.

Sabda Rasulullah SAW maksudnya : “Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya…” (Hadis Riwayat Muslim)


8. Banyakkan berselawat ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W.


Nabi SAW bersabda maksudnya : "Barangsiapa berselawat kepadaku di sisi kuburku maka aku mendengarnya, barangsiapa berselawat kepadaku dari jauh, maka selawat itu diserahkan oleh seorang malaikat yang menyampaikan kepadaku dan ia dicukupi urusan keduniaan dan keakhiratan dan aku sebagai saksi dan pembela baginya. " (Hadis Riwayat Baihaqi dari Al-Khatib)

Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda maksudnya : " Sesuatu doa terdinding (terhalang) sehinggalah seseorang yang berdoa berselawat kepada Nabi SAW. "

(Hadis Riwayat At-Tabaraani)


Dengan berselawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat.


9. Buat kebajikandan membantu orang yang lemah.


Nabi SAW bersabda maksudnya : “Carilah untukku orang-orang lemah kerana hanya kita diberi rezeki dan dibantu sebab orang-orang lemah dari kalangan kamu.” (Hadis Riwayat Ahmad, Muslim, Ibnu Hibban, Al Hakim)


Ibnu Abbas berkata:“Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya.”


10. Bersedekah waktu pagi meredakan murka Allah, menarik rezeki dan menolak bala.


Nabi SAW berwasiat kepada Saidina Ali k.wj maksudnya : "Wahai Ali ! Sedekah yang sembunyi-sembunyi itu dapat mereda murka Allah dan dapat menarik rezeki dan berkah yang banyak. Maka berpagi-pagilah kalau bersedekah. Kerana sesungguhnya bahaya itu turun pagi hari, sebelum bahaya turun, bersedekahlah sehingga dapat menolak bahaya di udara."


Nabi SAW bersabda maksudnya : “Apabila kamu telah selesai solat subuh janganlah kamu tidur tanpa mencari rezeki.” (Hadis Riwayat Tabrani)

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Pergilah awal pagi untuk mencari rezeki dan keperluan kerana pagi membawa keberkatan dan kejayaan.” (Hadis Riwayat Tabrani, Ibnu Adi)


Abdullah Ibnu Abbas (Ibnu Abbas) telah melihat anaknya tidur pada waktu Subuh. Maka dikatakan kepada anaknya, "Bangun! Apakah kamu tidur pada waktu rezeki dibahagi-bahagikan?"


11. Menjalin silaturrahim.


Nabi SAW bersabda maksudnya : “Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya (menjalini silaturahim)” (Hadis Riwayat Bukhari)


12. Sentiasa dalam keadaan berwuduk.


Sabda Rasulullah SAW maksudnya : “Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah akan memurahkan rezeki.” (Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid r.a)


13. Banyakkan membantu dan melapangkan kesusahan orang lain.


Nabi SAW bersabda kepada Zubair bin al-Awwam maksudnya : “Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya.” (Hadis Riwayat ad-Daruquthni dari Anas r.a.)


14. Hormati dan melayan tetamu.


Nabi SAW berwasiat kepada Saidina Ali k.wj. maksudnya : "Wahai Ali ! Anjurkanlah berbuat baik kepada mereka yang sedang ceria wajahnya. Dan hormatilah tetamu sebab rezeki tetamu yang singgah kerumah sesaorang pun ikut singgah di situ. Dan kalau ia meninggalkan rumah itu, dosa penghuni rumah itu lenyap bersama kepergian tetamu tersebut. Lalu terhapuslah dosa-dosa itu jauh ditengah lautan."


15. Amalan Solat Duha.


Firman Allah SWT dalam hadis qudsi yang bermaksud : “Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Duha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya.”

(Hadis Riwayat al-Hakim dan Thabrani)


16. Syukur di atas segala pemberian Allah.


Firman Allah SWT maksudnya : “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras.” (Surah Ibrahim ayat 7)


17. Mengamalkan ayat-ayat tertentu dalam Al-Quran yang mempunyai fadhilat dalam meluaskan rezeki.


Ada riwayat menjelaskan : "Mereka yang mengamalkan membaca Surah Al-Waqi'ah pada tiap-tiap malam, insya Allah tidak akan merasai kepapaan".

Rasulullah S.A.W. juga bersabda maksudnya : "Surah Yaasin dinamakan di dalam kitab Taurat dengan sebutan "At-Mu'ammah" (yang umum), yang mengumumkan pembacanya dengan kebaikan dunia dan akhirat, menanggung segala bala baik dari kesusahan di dunia mahu pun akhirat. Pembaca juga akan dilindungi dari setiap keburukan dan kejahatan serta segala hajat dan kemahuan akan Allah kabulkan. Jika dibaca dalam satu malam semata-mata mengharapkan keredaan Allah, nescaya Allah akan mengampunkan dosanya.. (Hadis riwayat Malik, Ibnu-Sunni dan Ibnu Hibban).


Mengamalkan membaca surah at-Talaq ayat 2-3 (dipanggil ayat 1000 dinar).

Firman Allah SWT maksudnya : “Barangsiapa bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberi rezeki kepadanya tanpa di sangka-sangka. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.” (Surah at-Talaq ayat2-3)


Antara fadilatnya ialah mendapat rezeki yang tidak disangka bahkan memperoleh rezeki menurut jalan yang tidak pernah terfikir, melenyapkan segala bentuk kesusahan serta dijauhkan daripada keraguan dan kesusahan maut.


Menurut banyak riwayat, sebab ayat seribu dinar diturunkan Allah adalah kerana peristiwa berkaitan seorang sahabat bernama Auf bin Malik al-Asyja’i yang mempunyai anak lelaki ditawan kaum Musyrikin. Beliau mengadu perkara itu kepada Rasulullah SAW dan Baginda meminta Auf supaya bersabar sambil bersabda kepadanya yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah akan memberi jalan keluar kepadamu.” Ternyata tidak lama selepas itu anaknya dilepaskan daripada tawanan pihak musuh dan dalam perjalanan ia terserempak seekor kambing kepunyaan musuh lalu dibawanya kambing itu kepada ayahnya.


Kemudian turunlah ayat yang bermaksud: “Siapa yang bertakwa kepada Allah, Dia menjadikan baginya jalan keluar dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka dan tidak terfikir sebelumnya.” (Hadis riwayat Ibnu Jarir)

18. Sentiasa berdoa kepada Allah.


Pada suatu hari Rasulullah SAW masuk ke masjid lalu terserempak seorang yang dipanggil Abu Umamah.Rasulullah SAW bersabda kepadanya: “Wahai Abu

Umamah, aku lihat engkau duduk di masjid bukan pada waktu solat, kenapa?”

Jawab Abu Umamah: “Dukacita dan hutang menyelubungiku, wahai Rasulullah!”

Jawab Rasulullah: “Mahukah kamu aku ajarkan suatu bacaan jika kamu membacanya Allah akan menghilangkan rasa dukacitamu dan melangsaikan hutangmu.”


Abu Umamah menjawab: “Ya, wahai Rasulullah.”

Baginda bersabda: “Apabila tiba waktu pagi dan petang bacalah:

“Ya Allah, aku berlindung denganMu daripada dukacita dan rasa sedih; aku berlindung denganMu daripada lemah dan malas; aku berlindung denganMu daripada sifat pengecut dan bakhil; dan aku berlindung denganMu daripada bebanan hutang dan penindasan orang.”


Kata Abu Umamah: “Aku membaca doa tersebut, lalu Allah menghilangkan rasa dukacitaku dan melangsaikan hutangku.”

(Hadis Riwayat Abu Daud daripada Abu Said al-Khudri).


19. Berusaha dengan bersungguh-sungguh keluar rumah mencari rezeki.


“Barangsiapa berhijrah di jalan Allah, nescaya mereka mendapati di muka bumi ini tempat hijrah yang luas dan rezeki yang banyak……. ”

(Surah An Nisaa’ ayat 100)


Sebenarnya Allah sudah memberi kita pakej yang cukup lengkap kepada kita untuk berjaya dalam perkara-perkara yang telah ditetapkan untuk kita, ini adalah sunnatullah, siapa yang gigih berusaha akan terbukalah jalan-jalan mencari rezeki baginya dengan mudah kerana keluar rumah mencari rezeki juga dikira sebagai berhijrah dijalan Allah.


20. Bertawakal kepada Allah SWT.


Berserah semata-semata kepada Allah SWT setelah berusaha, maksud firman Allah SWT: “Barang siapa bertawakal kepada Allah , nescaya Allah mencukupkan (keperluannya).” (Surah At-Thalaq ayat 3)


Nabi SAW bersabda maksudnya : “Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang.” (Hadis Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab r.a.)


Sahabat yang dimuliakan,

Hayatilah beberapa panduan dan amalan-amalan di atas sebagaimana di nyatakan oleh Allah SWT di dalam al-Quran dan hadis-hadis Nabi SAW jalan-jalan untuk mendapatkan murah rezeki daripada Allah SWT. Pastikan rezeki yang kalian cari adalah halal dan bersih daripada perkara yang haram dan subahat. Kerana setiap ringgit wang yang kita perolehi akan ditanya nanti dihari akhirat.

Tuesday, 25 October 2011

LIHATLAH PERSAMAANNYA

INDAHNYA ISLAM

TANGGUNGJAWAB KITA SEMUA

BAHAYA PANADOL

Pengambilan Panadol Actifast Dan Soluble Memudaratkan Kesihatan

Jangan ambil panadol actifast atau soluble jika anda rasa deman atau sakit kepala. Pengambilan panadol tersebut boleh memudaratkan kesihatan anda untuk pada masa akan datang.

“Suami saya bekerja sebagai Jurutera IT di sebuah hospital, di mana pihak hospital sedang menyiapkan pengkalan data untuk pesakitnya. Dia mengenali rapat doktor tersebut. Doktor memberitahu suami saya, apabila mengalami sakit kepala, mereka sendiri tidak sanggup mengambil Panadol atau Paracetamol. Sebaliknya, mereka akan mencari ubatan herba Cina atau mencari altenatif lain.

Ini kerana Panadol adalah bertoksik kepada tubuh kita . Ia merosakkan organ hati . Menurut doktor tersebut, Panadol akan tinggal di dalam tubuh selama sekurang-kurangnya 5 tahun . Menurutnya lagi, pernah berlaku seorang pramugari menelan terlalu banyak Panadol semasa kedatangan haid kerana tugasnya perlu berdiri sepanjang masa penerbangan. Dia kini baru berumur 30-an tetapi sudah perlu menjalani rawatan buah pinggang (dialisis) setiap bulan.

Alternative Treatment ( Tips )

Seperti kata doktor tersebut, sakit kepala disebabkan ketidak-seimbangan elektron/ion di dalam sel otak .

Sebagai rawatan alternatif, beliau mencadangkan membeli sebotol atau 2 botol minuman isotonik, campurkan dengan air minuman pada kadar 1:1 atau 1:2. Mudahnya, secawan isotonik dengan 2 cawan air minuman.

Saya dan suami pernah mencuba kaedah ini dan mendapati ia berkesan. Kaedah lain ialah merendam kaki ke dalam besin yang mengandungi air suam. Ia akan memberi tekanan darah menurun dari kepala anda.

Panadol adalah sejenis “pain killer”, semakin banyak anda mengambilnya, semakin lama semakin kurang kesannya kepada anda. Bererti anda perlukan dos yang lebih lagi apabila ia kurang berkesan.

Kita semua akan jatuh sakit apabila usia kita semakin meningkat. Untuk wanita, mereka akan melalui pengalaman melahirkan zuriat. Bayangkan mereka akan diberi dos yang kuat apabila terpaksa melalui proses beranak melalui pembedahan.. Jika anda terlalu banyak mengambil Panadol atau Paracetamol sepanjang hidup anda, seperti mereka yang ada migrain, ia akan memberi kesan sifar terhadap kesakitan yang anda alami dan anda memerlukan ubat yang lebih kuat lagi untuk mengurangkan rasa sakit. Adakah anda sanggup diberi dadah yang kuat seperti morfin?

Hargailah kehidupan anda. Fikir sebelum mudah memasukkan ubat yang “biasa” ini ke dalam mulut anda.

Sumber : Pengalaman Seorang Blogger

Tuesday, 28 June 2011

27 REJAB BERLAKU ISRA' MIKRAJ

Peristiwa Israk Mikraj yang berlaku pada malam 27 Rejab tahun ke-11 daripada kerasulan Nabi Muhammad S.A.W menurut jumhur ulama.

Terdapatnya sedikit khilaf dalam menentukan tarikh dan waktu sebenar berlakunya peristiwa Israk Mikraj ini sebenarnya. Namun itu bukanlah suatu perkara yang perlu dipanjangkan pedebatannya. Apa yang terlebih penting adalah peristiwa ini benar-benar berlaku kepada Rasulullah S.A.W. kerana ia ada dinyatakan oleh al-Quran al-Karim dan diceritakan sendiri oleh Rasulullah S.A.W. dalam hadisnya yang telah diriwayatkan oleh para ulama secara sahih lagi mutawatir sehingga tidak boleh dipertikaikan lagi.

Matlamat penting daripada peristiwa Israk Mikraj ini adalah pengajaran yang besar apabila Rasulullah S.A.W. dijemput oleh Allah SWT menjadi tetamuNya pada malam yang sangat bersejarah itu. Para ulama telah mencapai kata sepakat bahawa sesiapa yang meragui atau langsung tidak mempercayai peristiwa Israk Mikraj ini maka hukumnya adalah kafir.

Sungguhpun peristiwa luar biasa Israk Mikraj yang terjadi itu nampak mustahil dapat dijangkau oleh alam pemikiran manusia namun selaku umat Islam maka wajib percaya dan yakin bahawa Israk Mikraj yang ditempuhi serta dialami oleh Nabi Muhammad S.A.W. adalah benar dan berlaku dengan roh dan jasadnya sekali. Imam Nawawi menyatakan bahawa perkara sebenar yang telah disepakati para ulama dan begitu juga para sahabat bahawa Nabi Muhammad S.A.W telah diIsrak dan dimikrajkan oleh Allah Taala dengan roh dan jasadnya sekali.

Israk dan Mikraj adalah dua peristiwa yang amat besar dan luar biasa yang dialami oleh Nabi Muhammad S.A.W. dan dianggap sebagai satu penganugerahan yang tinggi nilainya dari segi kerohanian. Kedua-dua peristiwa itu adalah kurnia Allah Taala kepada baginda untuk memperlihatkan tanda-tanda keagungan dan kekuasaanNya. Segala-galanya boleh berlaku dengan kehendak dan kekuasaan Allah Taala selaku Pencipta dan Pentadbir alam semesta.

PENGERTIAN ISRAK DAN MIKRAJ

Israk bererti perjalanan Nabi Muhammad S.A.W. dari Masjid al-Haram di Mekah ke Masjid al-Aqsa di Bait al-Maqdis Palestin. Peristiwa ini ada terakam di dalam Al-Quran.

Firman Allah Taala bermaksud:

Maha Suci Allah yang telah menperjalankan hambaNya (Muhammad) pada suatu malam dari Masjid al-Haram (di Mekah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin) yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami memperlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

(Surah al-Israa: ayat 1)

Sementara itu Mikraj pula merujuk kepada perjalanan Nabi Muhammad S.A.W. dari Masjid al-Aqsa ke Sidrat al-Muntaha di langit ketujuh dekat singgahsana Allah Taala sepertimana yang digambarkan oleh Al-Quran.

Firman Allah Taala bermaksud:

Dan sesungguhnya (Muhammad) telah melihat (Jibril dalam bentuk rupanya yang asal) pada waktu yang lain. (iaitu) Sidrat al-Muntaha. Di dekatnya terletak syurga tempat tinggal (Jannat al-Makwa). (Muhammad melihat Jibril dalam bentuk rupanya yang asal) ketika Sidrat al-Muntaha itu diliputi oleh sesuatu yang meliputinya. Penglihatannya (Muhammad) tidak berpaling daripada yang disaksikannya itu dan tidak (pula) melampauinya. Sesungguhnya dia telah melihat sebahagian tanda-tanda (kekuasaan) TuhanNya yang paling besar.

(Surah an-Najm: ayat 13-18)

Dapatlah disimpulkan di sini bahawa peristiwa Israk Mikraj adalah sebagai satu perjalanan kilat Nabi Muhammad S.A.W. pada malam hari di atas kehendak dan keizinan Allah Taala dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa dan kemudian naik ke langit sampai ke Sidrat al-Muntaha bahkan menembusi tujuh lapis langit lalu kembali semula ke Makkah pada malam yang sama.

SEBAB KEPADA ISRAK MIKRAJ

Bulan Rejab iaitu tahun ke-11 dari kerasulan Nabi Muhammad S.A.W. disifatkan oleh ahli sejarah sebagai tahun dukacita bagi baginda berikutan dengan dua musibah yang menimpa baginda secara berturut-turut. Iaitu kehilangan dua insan yang baginda sayangi berikutan kewafatan Khadijah (isteri baginda) dan kemudian disusuli pula dengan pemergian Abu Talib (bapa saudara baginda).

Musibah yang menimpa itu mempunyai pengaruh besar terhadap diri Nabi Muhammad S.A.W. Baginda merasakan ruang untuk pergerakan dakwah di Makkah semakin sempit dan keselamatan diri turut terancam. Keadaan ini mendorong baginda untuk berpindah ke Thaif dengan harapan agar penduduknya menerima seruan dan bersedia membantu perjuangannya. Namun segala harapan baginda hancur kerana penduduk Thaif bukan saja tidak mahu memberi perlindungan kepada baginda malah baginda dicaci dan dihina dan pelbagai lagi.

Nabi Muhammad S.A.W. kembali semula ke Makkah dengan perasaan hampa dan dukacita. Lalu Allah Taala menganugerahkan Israk Mikraj yang antara lain bertujuan untuk menghibur dan memantapkan iman Nabi Muhammad S.A.W. Sebab kepada Israk Mikraj ini adalah antara sebab musabab berlakunya peristiwa ini namun semuanya di atas kehendak dan ketetapan dari Allah Taala.

PERJALANAN ISRAK DAN MIKRAJ

Telah disebut pada suatu ketika Nabi Muhammad S.A.W. sedang duduk di tepi Kaabah lalu datanglah malaikat Jibril A.S. dengan seekor Buraq untuk membawa Nabi Muhammad S.A.W. dalam peristiwa Israk Mikraj ini. Dari segi bahasa Buraq bererti kilat cahaya. Ia sejenis makhluk menyerupai haiwan. Saiznya besar sedikit dari khimar dan kecil sedikit dari baghal. Buraq dijadikan oleh Allah Taala dari cahaya. Ia boleh melangkah sejauh mata memandang.

Setelah itu berangkatlah Nabi Muhammad S.A.W. dengan ditemani oleh malaikat Jibril A.S. menuju ke Bait al-Maqdis dan baginda solat dua rakaat di situ dan menjadi imam kepada para nabi lain. Setelah selesai solat maka Nabi Muhammad S.A.W. telah dihidangkan dua bejana yang mengandungi dua jenis minuman iaitu satu bejana mengandungi susu dan satu bejana lagi mengandungi arak. Setelah itu Nabi Muhammad S.A.W. mengambil bejana yang mengandungi susu dan tindakan baginda memilih bejana mengandungi susu mendapat sanjungan dari Jibril A.S. kerana menepati fitrah manusia. Kemudian baginda dan Jibril A.S. meneruskan Mikraj ke langit pertama hingga ke tujuh.

KEJADIAN SEPANJANG ISRAK MIKRAJ

Di sini Allah Taala memperlihatkan pelbagai gambaran kejadian aneh dan pelik sebagai balasan dari Allah Taala kepada hamba-hambaNya mengikut apa sahaja perbuatan yang telah dilakukan. Di antara yang kejadian yang diperlihatkan kepada baginda sepanjang Israk dan Mikraj adalah:

Baginda melihat orang yang bercucuk tanam mengeluarkan hasil yang banyak dan cepat. Inilah gambaran orang yang membelanjakan harta di jalan Allah Taala.

Baginda mencium bau yang amat wangi dari kubur Masyitah. Ceritanya: Sedang Masyitah menyikat rambut anak Firaun maka sikat yang digunakan itu terjatuh lalu Masyitah menyebut: Dengan nama Allah. Bertanyalah anak Firaun kepada Masitah tentang tuhan selain bapanya. Masyitah menjawab: Tuhanku dan tuhan bapa kamu adalah Allah. Anak Firaun memberitahu bapanya akan hal ini lalu Masyitah diugut oleh Firaun supaya kembali ke agama asalnya. Masyitah enggan dan tetap dengan pendiriannya. Lalu Firaun mencampakkan seorang demi seorang anaknya ke dalam air yang mendidih sehingga tiba giliran anak terakhirnya yang sedang disusui olehnya. Masyitah merasa sangat bimbang dan kesian akan anak kecilnya itu lalu Masyitah cuba melengah-lengahkan masa. Dengan kuasa Allah Taala maka bayi tersebut dapat berkata-kata lalu menyebut: Wahai ibuku! Sesungguhnya azab akhirat itu jauh lebih pedih dari azab dunia maka usahlah ibu menjauh-jauhkan diri kerana ibu di pihak yang benar. Lalu Masyitah melepaskan bayinya dan Firaun dengan segera mencampakkan bayi itu ke dalam didihan air. Masyitah berkata: Aku mempunyai permintaan iaitu supaya engkau (Firaun) mengumpulkan semua tulang dan menanamnya. Firaun berkata: Aku akan melakukannya. Lantas Firaun pun mencampakkan Masyitah ke dalam air didihan itu.

Baginda melihat sekumpulan manusia berpakaian compang-camping sambil memakan sampah-sarap serta rumput. Itulah gambaran golongan manusia yang enggan mengeluarkan zakat dan tidak bersedekah kerana sayangkan harta yang dimiliki.

Baginda melihat sekumpulan manusia yang mempunyai perut yang besar sehingga tidak terdaya lagi untuk bangun dan berdiri. Inilah gambaran manusia yang memakan hasil daripada perbuatan riba.

Baginda melihat sekumpulan manusia yang asyik memakan daging mentah dan busuk sedangkan di sisi mereka juga terdapat daging yang telah dimasak dan berkeadaan baik. Inilah gambaran manusia yang telah melakukan zina dalam hidup mereka sedangkan mereka sudah pun mempunyai isteri yang telah dikahwini secara sah.

Baginda turut melihat sekumpulan manusia yang sedang memecahkan kepalanya sendiri. Inilah gambaran manusia yang terlalu sibuk dengan hal-hal keduniaan sehingga lalai menunaikan kewajipan bersolat.

Baginda melihat sekumpulan manusia yang memotong lidahnya sendiri secara berterusan. Inilah gambaran manusia yang dalam hidup mereka suka menabur fitnah dan berbohong apabila berkata-kata.

Baginda melihat wanita menangis sambil meminta pertolongan tetapi tiada yang sanggup membantu. Inilah gambaran balasan wanita yang berhias bukan kerana suaminya.

Baginda melihat wanita tergantung pada rambutnya serta otaknya menggelegak dalam periuk. Inilah gambaran balasan wanita yang tidak menutup auratnya.

Baginda melihat wanita berkepala seperti babi dan badannya seperti kaldai dan menerima berbagai-bagai balasan. Inilah gambaran wanita yang suka membuat fitnah dan bermusuh dengan jiran dan membuat dusta.

DIFARDHUKAN SOLAT LIMA WAKTU

Daripada pelbagai kejadian yang disaksikan sendiri oleh Rasulullah S.A.W. ini ada suatu hal yang amat besar dan penting yang melibatkan proses peribadatan umatnya iaitu perintah Allah Taala agar melakukan ibadat solat fardu.

Sewaktu tiba di Sidrat al-Muntaha maka Rasulullah S.A.W. telah menerima perintah Allah Taala iaitu perintah melakukan ibadat solat untuk seluruh umatnya sebanyak 50 waktu sehari semalam. Sebaik sahaja menerima perintah tersebut tanpa banyak bicara baginda dan Jibril A.S. bersiap sedia untuk turun ke bumi.

Pada masa inilah baginda bertemu dengan Nabi Musa A.S. yang bertanyakan hal itu kepada baginda. Setelah mendengar penjelasan Nabi Muhammad S.A.W. maka Nabi Musa A.S. berkata: Kembalilah kepada Tuhanmu dan mintalah sedikit keringanan kerana bilangan tersebut tidak akan terdaya dilakukan oleh umatmu.

Nabi Muhammad S.A.W. dan Jibril kembali mengadap Allah Taala. Jumlah bilangan waktu solat telah dikurangkan kepada 40 waktu. Apabila berjumpa Nabi Musa A.S. kemudiannya maka Nabi Musa A.S. meminta baginda kembali menemui Tuhan untuk meminta dikurangkan lagi jumlah tersebut. Setelah beberapa kali Nabi Muhammad S.A.W. berulang alik menemui Allah Taala dan pada akhirnya Allah Taala telah mengurangkan bilangan solat fardu tersebut menjadi 5 waktu sahaja.

Apabila kembali semula maka Nabi Musa A.S. masih merasakan umat Nabi Muhammad S.A.W. masih tidak terdaya untuk melakukannya dengan bilangan 5 itu. Nabi Muhammad S.A.W. menyatakan bahawa beliau tidak akan mengadap Allah Taala lagi untuk memintaNya mengurangkan bilangan solat itu kerana baginda merasa malu untuk berdepan dengan Allah Taala.

PERTIKAIAN KAFIR QURAISY

Tiada alasan untuk menolak hakikat peristiwa Israk Mikraj yang dilalui oleh Nabi Muhammad S.A.W. dengan roh dan jasadnya sekali kerana baginda telah diIsrak dan diMikrajkan oleh Allah Taala. Sekalipun peristiwa Israk Mikraj itu adalah perkara luar biasa di sisi akal manusia tetapi bagi Allah Taala Yang Maha Berkuasa maka Dia boleh melakukan apa jua perkara yang dianggap pelik menjadi perkara biasa dan tiada yang mustahil bagiNya.

Kalaulah peristiwa Israk Mikraj itu sekadar mimpi Nabi Muhammad S.A.W pergi ke Bait al-Maqdis dan juga mimpi naik ke langit tujuh maka kaum musyrikin Makkah tidak akan marah dan mempersenda baginda kerana mimpi adalah perkara biasa bagi semua orang. Bilamana kafir Quraisy menentang habis-habisan dan berusaha mati-matian menyangkal peristiwa Israk Mikraj yang berlaku dengan roh dan juga jasad Nabi Muhammad S.A.W. ini bererti dengan sendirinya mereka mengakui bahawa baginda telah diIsrak dan diMikrajkan dengan roh dan jasadnya sekali. Ini kerana mimpi bukanlah suatu yang luar biasa dan tidak menyebabkan orang bersengketa mempertikaikan jika ada orang yang mendakwa sedemikian rupa.

Sekiranya Nabi Muhammad S.A.W itu sekadar mimpi naik ke langit sahaja maka tidak ada mustahaknya orang-orang kafir Quraisy mencabar baginda untuk membuktikan kebenaran ceritanya dengan menanyakan baginda berkenaan rupabentuk Masjid al-Aqsa serta jumlah pintu dan tiangnya dan juga perkara-perkara yang berkaitan dengan masjid tersebut.

Pertanyaan kafir Quraisy mengenai keadaan rupabentuk Masjid al-Aqsa dengan tujuan untuk memerangkap Nabi Muhammad S.A.W. kerana mereka yakin seratus peratus bahawa baginda tidak pernah menjejakkan kaki ke Bait al-Maqdis. Sebaliknya apabila semua pertanyaan telah dijawab dengan betul maka mereka menjadi panik dan bingung. Mereka tahu bahawa Nabi Muhammad S.A.W. sebelum peristiwa ini sememangnya tidak pernah pergi ke Bait al-Maqdis tetapi mereka hairan bagaimana baginda boleh menjawab semua pertanyaan berhubung Masjid al-Aqsa itu dengan tepat. Mereka telah hilang punca dan mereka terpaksa membuat tuduhan bahawa Nabi Muhammad S.A.W. adalah seorang ahli sihir.

Sememangnya tiada dalam ingatan Nabi Muhamamd S.A.W. tentang rupabentuk Masjid al-Aqsa kerana baginda sekadar dibawa singgah sebentar oleh Jibril A.S. untuk menunaikan solat dua rakaat. Bagaimanapun Allah Taala tidak akan membiarkan RasulNya terperangkap dalam percaturan jahat puak musyrikin Makkah yang cuba hendak memalukan baginda. Allah Taala datangkan Masjid al-Aqsa ke hadapan Nabi Muhammad S.A.W. Justeru itu Nabi Muhammad S.A.W. dapat melihat Masjid al-Aqsa dengan jelas sehingga mudah untuk baginda menjawab semua pertanyaan puak musyrikin.

Orang yang beriman akan terus beriman dan makin bertambah kukuhlah iman mereka. Manakala orang yang tidak beriman akan terus kufur bersama kekufuran mereka. Semuanya telah dibentangkan di depan mata.

Monday, 13 June 2011

Lipas mungkin punca asma dalam kalangan kanak-kanak

NEW YORK: Lipas dikenal pasti sebagai kemungkinan punca peningkatan kadar asma di kalangan kanak-kanak Bandaraya New York.

Di kebanyakan kejiranan di bandaraya itu, 19 peratus atau hampir seorang daripada lima kanak-kanak mengalami asma manakala kadar di tempat lain adalah serendah tiga peratus.

Malah, kediaman di kejiranan dengan kadar tinggi asma mengandungi lebih alergen yang dihasilkan lipas dalam habuk rumah.

Namun penyelidik di Universiti Columbia mendapati kanak-kanak yang tinggal di kejiranan dengan kadar tinggi asma adalah dua kali ganda berkemunkinan membawa antibodi terhadap protin lipas dalam darah mereka, petunjuk bahawa mereka terdedah dan alah kepada serangga perosak itu.

Di Malaysia juga serangga ini banyak didapati di tempat lembab @ di dapur, bawah sink dan almari pakaian. Jika kita tidak mempedulikannya, ia boleh membiak dengan cepat dan pantas. Di rumah saya sebulan sekali buat operasi menghapuskan lipas ini dengan penyemburan ridsect dan ubat lipas. Namun ada 20 fakta yang menarik tentang lipas ini iaitu ;
  1. Nama lipas atau dalam Bahasa Inggeris cockroach berasal daripada perkataan Sepanyol “cucaracha” yang membawa maksud serangga gila.. haha
  2. Seekor lipas boleh menahan nafas selama 40 minit.. wow
  3. Seekor lipas boleh hidup 3-4 minggu walaupun kepala dia dah putus
  4. Kalau berlaku peperangan nuklear, lipas adalah satu-satunya makhluk yang boleh hidup
  5. Lipas mempunyai darah berwarna putih
  6. Kebanyakkan lipas boleh terbang tapi bukan kesemuanya.
  7. Lipas yang paling besar di dunia adalah Macropanesthia rhinocerus berasal daripada Australia yang beratnya adalah 50gram
  8. Lipas goreng adalah makanan yang biasa di Cambodia
  9. Lipas makmal betina boleh menghasilkan anak tanpa bantuan lipas jantan dan anak-anak dia semua betina
  10. Lipas anak hanya perlu mengawan sekali dan mampu menghasilkan anak sepanjang hidupnya hohoho
  11. Agak mustahil untuk menangkap seekor lipas sebab dia ada rambut-rambut halus yang boleh mengesan angin daripada pergerakkan apa-apa yang menghampirinya.
  12. Semasa perang di Vietnam, tentera Amerika menggunakan lipas untuk mengenal pasti askar-askar komunis yang menyamar sebagai petani
  13. Lipas ada gigi di dalam perutnya
  14. Lipas yang dilumatkan boleh boleh membantu menghilangkan kesan bisa jika dilumurkan pada tempat tu
  15. Lipas boleh menukar arah sebanyak 25 kali dalam masa satu saat
  16. Kalau lipas patah kaki, kaki itu boleh tumbuh semula
  17. Lipas bernafas melalui bahagian tepi badannya dan bukan melalui hidung
  18. Lipas hanya ada 6 kaki tapi memiliki 18 lutut hohoho
  19. Lipas boleh berlari sepantas 3 batu sejam
  20. Lipas dikatakan menghabiskan 75% masa sehari dengan hanya duduk tanpa buat apa-apa.

Tuesday, 31 May 2011

Elektrik naik 7%, gas asli akan diapungkan

Kerajaan persekutuan menaikkan tarif elektrik dengan purata 7.12 peratus bermula 1 Jun ini sebagai sebahagian daripada pengurangan subsidi.

NONESementara gas asli pula dinaikkan RM3 setiap mmBtu setiap enam bulan sehingga mencecah harga pasaran pada 2016, apabila harganya diapung sepenuhnya.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Peter Chin Fah Kui berkata, seramai 44.4 juta atau 75 peratus dariapada keseluruhan 5.94 juta isi rumah tidak akan terjejas dengan tarif baru ini.

Bagi yang menggunakan 301kW hingga 1000kW, tarif dinaikkan daripada 0.1 peratus hingga 10 peratus, atau RM0.07 kepada RM30.30.

Pelepasan bil elektrik untuk pengguna yang menggunakan kurang daripada RM20 sebulan akan tamat pada Disember 2011.

Sementara itu, Bernama melaporkan, dalam pengumuman bersama Peter dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, mereka berkata kenaikan itu disebabkan oleh peningkatan harga gas asli untuk sektor tenaga.

Sebelum ini, agensi berita nasional itu melaporkan, Urus niaga saham Tenaga Nasional Bhd (TNB) digantung berkuat kuasa pukul 2.30 petang sehingga 5 petang ini.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata penggantungan itu berhubung dengan satu pengumuman penting.

Sumber : MalaysiaKini

Monday, 30 May 2011

Awasi riba dalam pembelian emas

AKHIR-akhir ini timbul keghairahan dalam kalangan umat Islam di negara ini untuk membeli dan melabur dalam emas sama ada dalam bentuk siling, jongkong dan sebagainya.

Situasi ini menyebabkan ada di kalangan mereka lupa akan batas-batas syariah berkaitan pembeliannya sehingga membawa kepada amalan riba yang diharamkan Islam.

Allah SWT mengisytiharkan perang ke atas pelaku riba. Ini terkandung dalam penegasan-Nya dalam firman: Wahai orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah saki baki riba, jika kamu orang yang beriman. Jika kamu tidak meninggalkannya, isytiharkanlah perang dengan Allah dan Rasul-Nya. (al-Baqarah': 278-279)

Secara umum, riba adalah sebarang pertambahan dalam urus niaga sesuatu barangan atau tambahan ke atas hutang disebabkan tempoh pembayaran yang lewat.

Emas selaku komoditi bernilai merupakan salah satu barangan berunsurkan riba (ribawi) yang disebutkan dalam hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh 'Ubadah bin al-Samit : Emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, tamar dengan tamar, garam dengan garam, perlu sama, timbangan sama dan diserah tangan segera. Jika asnaf-asnaf ini berbeza, juallah seperti mana kamu kehendaki selagi ia serahan segera (tidak bertangguh). (riwayat Muslim)

Hadis ini menyenaraikan barangan ribawi yang terbahagi kepada dua kategori, iaitu matawang seperti emas, perak, ringgit, dollar dan sebagainya serta makanan asasi seperti padi, gandum, barli, tamar dan garam.

Walaupun begitu, syarat ini tidak terpakai dalam urus niaga barangan ribawi yang berlainan kategori dan jenis, seperti membeli padi dengan menggunakan emas atau urus niaga barangan ribawi dengan barangan bukan ribawi seperti boleh membeli kereta dengan menggunakan emas atau matawang lain.

Urus niaga pembelian emas kini melibatkan pertukaran emas dengan matawang lain. Menurut muamalat Islam, pembelian atau pertukaran matawang dengan matawang seperti membeli emas dengan wang ringgit adalah termasuk dalam kontrak al-Sarf (tukaran wang).

Justeru, pembelian emas mestilah mematuhi syarat kontrak tersebut, iaitu mestilah tunai serta-merta tanpa ditangguh atau diberi tempoh. Syarat serahan dan penerimaan barangan emas mestilah berlaku semasa akad pembelian sebelum berpisah.

Oleh itu, kita semua perlu mengawasi perkara ini demi mengelak diri daripada terkena najis riba yang kemudiannya akan terkena bakaran api neraka serta dilaknat Allah SWT. Ingatlah amaran Rasulullah SAW: Allah melaknat orang yang memberi dan menerima riba. (riwayat Muslim)

Popular Posts

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails