Friday, 10 December 2010

Usah negatif terhadap ibu mertua

Kita sering membaca kisah hubungan tidak 'ngam' antara menantu perempuan dan ibu mertua dan amat jarang sekali hubungan menantu lelaki dan ibu mertua diketengahkan. Kali ini Laman-Seri akan membicarakan tentang hubungan yang jarang-jarang dibincangkan.

Dalam kehidupan berumahtangga menjaga hubungan dengan mertua menjadi antara tanggungjawab besar kepada seseorang yang sudah bergelar suami atau isteri. Islam sendiri turut menyarankan kita agar menghormati dan menyayangi mertua seperti ibu bapa kandung. Bagi sesetengah orang, mertua sering kali dianggap menjadi penyebab timbulnya konflik dalam rumahtangga. Bagaimanapun, tidak semua berfikiran sedemikian kerana ada mertua menjadi sahabat paling akrab dan benar-benar membantu dalam rumahtangga.

Apabila bakal menantu tidak mampu menjalin hubungan yang akrab sebelum berkahwin dengan bakal mertua, keadaan ini menyebabkan hubungan dingin antara mereka berterusan. Hakikat yang perlu diterima seseorang sebaik sahaja selesai diijabkabul, tanggungjawab dan peranan semakin bertambah dan bukannya berkurangan. Jika dahulu hanya sebagai kekasih, tetapi kini sebagai suami atau isteri yang sah. Pasangan sebenarnya bukan hanya berkahwin dengan lelaki atau wanita yang dicintai, bahkan juga seluruh anggota keluarganya.

Sebagai menantu lelaki dalam keluarga perempuan, anda barangkali sukar berkomunikasi sebaiknya dengan keluarga mertua. Menyesuaikan diri dengan mertua bukan fenomena baru dalam masyarakat kita. Sebagai menantu lelaki, anda mungkin malu atau tidak tahu cara untuk memulakan sesuatu komunikasi. Isteri boleh membantu melalui pelbagai perkara.

Tips berikut juga mungkin boleh digunakan untuk menjadikan hubungan dengan keluarga isteri lebih rapat:

1. Kungungi ibu mertua

Sering mengunjungi ibu mertua (jika tidak tinggal serumah) atau sering memerhatikan ibu mertua (jika tinggal serumah). Ini boleh dilakukan bersama isteri atau tidak dan sekali gus mampu mengeratkan hubungan sekeluarga...

2. Mengalah bukan erti kalah

Mengalah dalam sesuatu perkara kerana ibu mertua umumnya sudah berusia lanjut. Mereka lebih sering menggunakan emosi daripada logik. Ibu mertua akan gembira jika anda kelihatan ada kemahuan untuk “menaunginya” dan kelihatan anda mahu “berkongsi kasih” dengannya selain anak perempuannya.

3. Eratkan silaturrahim

Kembangkan hubungan dengan mertua perempuan. Ini boleh dilakukan misalnya dengan mengajaknya berbincang mengenai hal yang diminatinya, sering mengunjunginya, mengajaknya berjalan dan belajar untuk melayannya seperti ibu kandung sendiri. Hal ini dapat membuatkan ibu mertua berasa anda memang memerhatikannya sebagai individu yang dihargai dan diperlukan.

4. Melakukan aktiviti bersama

Babitkan mertua perempuan dalam setiap aktiviti yang dilakukan jika perlu. Misalnya, minta tolong menemani anda dan anak berjumpa doktor atau pergi berbelanja bersama.

5. Lebihkan perhatian

Fokuskan perhatian anda terhadap hal yang baik dalam dirinya dan cuba untuk menghindari pemikiran negatif mengenai dirinya. Misalnya, anda tahu dia adalah tukang masak yang hebat. Dari sudut positif, anda dapat belajar masak walaupun anda menantu lelaki. Mungkin anda dapat menyediakan makanan lazat ketika isteri berpantang selepas bersalin. Secara tidak langsung, anda meringankan beban ibu mertua yang terpaksa menjaga isteri yang sedang berpantang.

6. Elakkan kritikan

Jangan mengkritik ibu mertua di depan isteri. Walau bagaimana sekalipun perangai ibu mertua, dia tetap ibu kandung isteri anda. Ingatlah pertalian darah tidak akan hilang sampai bila-bila. Kata-kata negatif mengenai ibu kandungnya hanya akan membuat isteri semakin menjauh daripada anda.

7. Iktiraf kewujudannya

Sedarilah walaupun ibu mertua bukan sahabat tetapi cubalah selami bahawa kehadiran anda dalam kehidupan isteri sudah ‘memisahkan’ dia dengan anak yang dicintainya.

8. Banyakkan bersabar dan berdoa

Jangan anggap ibu mertua tidak suka kepada anda. Kaji diri sendiri kerana mungkin selama ini ada sikap anda memang membuatkan ibu mertua tidak berkenan walaupun bukan bererti anda harus mengubah keperibadian diri. Jika anda bersabar, selalu memberi perhatian dan bersikap positif terhadap ibu mertua, lama-kelamaan ibu mertua juga lembut hatinya. Jika perilaku negatif dibalas negatif, hasilnya sering tidak menggembirakan. Kebanyakan lelaki mungkin tidak pandai menyesuaikan diri dengan ibu mertua lalu mereka menghindarkan diri daripada ibu mertua yang dianggap merumitkan suasana.

9. Ambil hati

Istilah “mengambil hati mertua” itu ternyata ada benarnya. Fikirkan suatu hari nanti, isteri anda akan menjadi seorang ibu mertua apabila anda menerima menantu lelaki. Hidup semakin mudah jika sejak awal, anda sudah menetapkan batasan tegas antara isteri dan ibu kandungnya. Misalnya, tidak membiasakan ibu kandungnya untuk mengurus segala keperluannya atau meminta ibu kandungnya untuk mengatur kewangan anda berdua. Jika kelakuan ibu mertua sudah melebihi batasan misalnya sudah mencampuri urusan rumahtangga, sudah sampai masa untuk meminta isteri anda menegur ibu kandungnya.

Teguran haruslah dengan kata-kata bersesuaian. Kalau anaknya sendiri yang menegur, tentu si ibu mertua akan cepat memaafkan dan melupakannya. Jika anda yang menyatakannya pada ibu mertua, mungkin hubungan anda dengan dia akan menjadi suram dan kata-kata anda itu mungkin tidak dapat dilupakan.

10. Jangan lokek atau berkira

Rajin-rajinlah mengambil hatinya, mungkin dengan membelikan hadiah atau buah tangan setiap kali anda bertugas di luar daerah. Misalnya, belikan sepasang kain seperti mana anda belikan untuk isteri. Lihatlah reaksi di wajahnya.

Semoga tips-tips di atas dapat membantu anda mengeratkan lagi hubungan dengan ibu mertua anda.

Tips dipetik dari sumber: HMetro 2009/01/15

Firman Allah SWT :
[7:179] Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahanam kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.

Hadis Rasulullah SAW:
Dari Abu Hurairah r.a., dari Rasulullah SAW., sabdanya: "Siapa yang tasbih tiga puluh tiga kali, tahmid tiga puluh tiga kali, takbir tiga puluh tiga kali, jadi jumlahnya sembilan puluh sembilan kali, kemudian dicukupkannya seratus dengan membaca: "La ilaha illallahu wahdahu la syarikalahu lahul mulku wa lahul hamdu wa huwa 'ala kulli syai-in qadir. Maka diampuni Allah segala kesalahannya, walaupun sebanyak buih di lautan." (Hadis riwayat Muslim)

No comments:

Popular Posts

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails