Thursday, 17 June 2010

KERANA CINTA BADAN BINASA




“Kerana cinta, Demi cinta dan kemaruk cinta, lautan api sanggup ku renangi, gunung tinggi sanggup ku daki, asalkan kita dapat hidup bersama.”

Inilah antara ungkapan-ungkapan yang biasa kita dengar apabila seseorang itu terjebak dan kemaruk cinta terutamanya sebelum berkahwin. Kerana cinta, demi cinta dan kemaruk cinta seseorang itu sanggup melakukan apa sahaja asalkan semua impian yang dicita-citakan tercapai dan terlaksana.

Ayat-ayat cinta yang romantik dan “power” sentiasa bermain-main dan membasahi bibir setiap pasangan yang mabuk cinta. Ayat-ayat tersebut diungkapkan untuk menjaga hubungan, menunjukkan kasih sayang dan sebagainya terhadap pasangan masing-masing.

Malah demi cinta juga, seseorang itu sanggup mengadaikan maruah diri dan menjadi hamba nafsu kepada pasangan masing-masing. Manakala yang lebih parah lagi, manusia sanggup membunuh sesama sendiri dan sanggup membunuh diri gara-gara kecewa kerana cinta. Inilah yang berlaku dalam masyarakat kita kini. Sanggup melanggari segala larangan Allah SWT demi menunjukkan betapanya mereka ini adalah pasangan yang setia. Inilah penangan cinta.

Bicara hari ini adalah untuk memperingati dan muhasabah, bagaimana diri ini, dirimu dan kita semua menunjukkan rasa cinta terhadap Allah SWT? Apakah pengorbanan yang telah kita lakukan selama kita hidup untuk menunjukkan rasa cinta kita kepada Allah SWT? Selain itu, adakah bibir kita sentiasa dibasahi dengan ayat-ayat cinta kepada Allah SWT iaitu memuji dan membesarkan Allah SWT? Sama-sama kita fikir dan renungkan…

Kekadang manusia lupa bahawa cinta kepada manusia adalah cinta yang tidak kekal dan sementara, ia boleh hilang dengan sekelip mata. Lihatlah apa yang berlaku dalam masyarakat kita, ketika bercinta semuanya indah-indah. Tetapi apabila berkahwin, cinta itu semakin hari semakin pudar dan hilang. Beginilah kalau cinta itu tidak berlandaskan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT. Justeru itu, perhubungan itu diakhiri dengan penceraian jua.

Manakala cinta kepada Allah SWT adalah cinta yang kekal dan hakiki. Cinta Allah SWT akan membawa kepada ketenangan jiwa dan kebahagian di dunia dan juga di akhirat. Beruntunglah sesiapa yang bercinta dengan Allah SWT setiap masa, setiap waktu, setiap saat kerana DIA Maha Pengasih dan Penyayang.

Kerana cinta, demi cinta dan kemaruk cinta…Di sini saya kongsikan satu keratan akhbar yang dilaporkan oleh Harian Metro hari ini yang bertajuk : “KEMARUK CINTA NENEK”



ALOR SETAR: Seorang wanita sanggup merentas laut dari Medan, Indonesia, semata-mata bertemu kekasihnya yang menetap di bandar raya ini bagi membincangkan soal perkahwinan mereka.


Bagaimanapun, hasrat nenek berusia 49 tahun itu terbantut apabila mereka dicekup berkhalwat oleh sepasukan anggota Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) di sebuah hotel murah di Jalan Seberang Perak, bersebelahan Masjid Zahir, di sini, awal pagi semalam.


Wanita yang mempunyai 11 cucu itu mengenali pasangannya, warga Pakistan berusia 55 tahun yang bekerja sebagai penyelia di Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di sini sejak setahun lalu di sebuah restoran di Kuala Lumpur.


Pada mulanya lelaki itu berpura-pura tidak tahu berbahasa Melayu dan bercakap dalam bahasa Pakistan selain memberi alasan pasportnya tiada dalam simpanan.


Namun tembelangnya pecah apabila dia secara tiba-tiba mengeluarkan pasport dalam poket seluarnya ketika dibawa ke pejabat agama serta secara tidak sengaja bertutur dalam bahasa Melayu menyebabkan dia terpaksa memberitahu perkara sebenar yang mereka bukan mahram atau suami isteri.


Ketua Operasi Jaik, Salehudin Saudi berkata, pihaknya menahan pasangan itu selepas membuat pemeriksaan di hotel murah terbabit yang bersebelahan Masjid Zahir di sini dan mendapati pintu sebuah bilik di tingkat bawah hotel itu berkunci dari dalam.


Beliau berkata, selepas mengetuk pintu dan memberi salam, seorang wanita membuka pintu bilik itu dan membenarkan anggota masuk membuat pemeriksaan.


“Hasil pemeriksaan menemui seorang lelaki rakyat Pakistan beragama Islam berada dalam bilik itu dan mengesyaki sesuatu mencurigakan selepas mereka gagal menunjukkan sebarang bukti mempunyai hubungan mahram atau suami isteri.


“Pada masa sama, wanita itu memakai baju dalam keadaan terbalik serta tidak menarik zip seluar jeans menyebabkan timbul syak mereka melakukan maksiat berikutan pintu bilik lambat dibuka selepas diketuk berkali-kali,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.


Salehudin berkata, lelaki itu ditemui hanya memakai seluar panjang tanpa baju dan terkejut melihat kehadiran anggotanya membuat pemeriksaan.


Beliau berkata, hasil soal siasat mendapati nenek terbabit yang tidak bekerja itu mengaku sanggup datang ke negara ini selepas kekasihnya meminta dia datang ke Kedah untuk berbincang soal perkahwinan mereka.


“Lelaki itu mengaku sudah mempunyai isteri dan empat anak di Pakistan dan bekerja di negara ini sejak lima tahun lalu. Dia mendakwa ingin memperisterikan wanita terbabit.


“Wanita itu pula memberi alasan dia kesunyian dan sanggup datang ke sini kerana rindukan kekasih dikenali sejak setahun lalu,” katanya.

Beliau berkata, pasangan itu ditahan mengikut Seksyen 9(1)(2) Enakmen Kanun Jenayah Syariah 1988 kerana berkurung sehingga mendatangkan pada orang ramai dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau setahun penjara atau kedua-duanya sekali.


Dalam operasi di hotel sama, angotanya menahan pasangan warga Indonesia berusia lingkungan 20-an kerana disyaki berkhalwat kira-kira jam 1.20 pagi.


Beliau berkata, kedua-dua pasangan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Star untuk siasatan lanjut sebelum dibawa ke pejabat agama untuk soal siasat.

“Lelaki itu bekerja di Perlis dan menyewa sebuah bilik hotel murah di bandar raya ini untuk memadu asmara sebelum dicekup berkhalwat,” katanya.

Sekiranya cinta itu tidak berlandaskan syariat Islam dan menurut hawa nafsu semata-mata, maka….

Kerana cinta, manusia menjadi buta hati….

Demi cinta, manusia sanggup melakukan apa sahaja seperti membunuh dan sebagainya…

Kemaruk cinta, manusia sanggup melanggar syariat Allah SWT…………..

Apa pandanagan anda??


Wallahu a’lam.

Sumber : http://ibnismail.wordpress.com/

No comments:

Popular Posts

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails