Saturday 19 November 2011

Air disahkan tercemar bakteria E.coli

KUALA LUMPUR 19 Nov. - Uji kaji makmal terhadap sampel air di Kelantan pada setiap tahun oleh Kementerian Kesihatan bukan saja mendapati ia mengandungi logam-logam berat malah bakteria berbahaya termasuk E.coli.

Lebih membimbangkan, E.coli turut ditemui dalam sampel air yang dibekalkan ke rumah-rumah oleh Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB).

Penemuan E.coli itu dalam sampel air dari Kelantan dikesan dalam uji kaji yang dijalankan kementerian itu dari 2008 hingga 2010.

Laporan Bilangan dan Peratusan E.coli dan Logam Berat Bagi Air Terawat dan Air Mentah Mengikut Daerah Negeri Kelantan 2008-2010 yang dibekalkan kepada Mingguan Malaysia oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Hasan Abdul Rahman.

Perlu ditegaskan bahawa kerajaan dan juga standard antarabangsa menetapkan bahawa bekalan air terawat mestilah bebas daripada bakteria E.coli.

Ini kerana, E.coli sangat berisiko kepada kesihatan manusia iaitu boleh menyebabkan cirit-birit, muntah, demam, najis berdarah dan paling bahaya ialah dehidrasi atau penyahhidratan yang membawa maut.

Sepanjang tahun lalu sahaja, 11 kes pencemaran E.coli membabitkan air AKSB direkodkan kementerian di Tanah Merah, diikuti Jeli (lapan kes), manakala Pasir Puteh dan Kuala Krai masing-masing dengan tujuh kes.

Beberapa syarikat pengendali air negeri lain memberitahu Mingguan Malaysia, pencemaran bakteria E.coli dalam air terawat iaitu air yang telah melalui loji rawatan, selalunya berpunca daripada kekurangan klorin.

Bagi kes kandungan E.coli dalam air mentah pula, pada 2010 Pasir Puteh mencatat peratusan kes tertinggi iaitu 17.31 peratus, diikuti Gua Musang (16.67 peratus) dan Tanah Merah (11.97 peratus).

Kehadiran banyak bakteria itu dalam sumber air mentah yang digunakan rakyat Kelantan dipercayai berpunca daripada ketiadaan sistem tangki septik (najis) yang sistematik di negeri itu sejak sekian lama dan ia merangkumi keseluruhan daerah termasuk Kota Bharu.

Disebabkan ketiadaan sistem tersebut dan kesukaran mendapat air terawat, kebanyakan masyarakat Kelantan menggali perigi pada jarak rata-rata kurang 50 meter dari tangki najis rumah masing-masing, menyebabkan berlaku serapan bakteria melalui air bawah tanah.

Dalam laporannya, kementerian turut mengesan pencemaran logam berat dan bakteria berbahaya tidak hanya terhad kepada air mentah dari sumber perigi, telaga tiub dan sungai semata-mata, tetapi turut merangkumi air yang dibekalkan AKSB.

Ancaman utama sekali lagi membabitkan mangan, arsenik serta bakteria e-coli disebabkan kegagalan AKSB mematuhi piawaian rawatan air selain kadar liputan air terawat kepada isi rumah Kelantan yang cukup rendah, iaitu hanya 57 peratus daripada 1.54 juta penduduk.

Dalam pada itu, pencemaran mangan dalam air mentah, hanya Bachok dan Tumpat yang bebas daripada pencemaran logam berkenaan untuk tempoh 2008 hingga 2010.

Kota Bharu, Machang, Pasir Mas, Pasir Puteh, Tanah Merah, Gua Musang, Kuala Krai dan Jeli dikesan mempunyai kandungan mangan melebihi piawaian dengan Kuala Krai mencatat pencemaran tertinggi sejak 2009.

Pencemaran mangan dalam air terawat yang dibekalkan AKSB juga tidak banyak bezanya apabila hanya empat daripada 10 daerah yang bebas pencemaran iaitu Machang, Bachok, Pasir Mas serta Pasir Puteh dan kawasan paling teruk tercemar adalah Kota Bharu.

Berbeza dengan ujian oleh Mingguan Malaysia bagi pencemaran arsenik untuk tahun ini, kementerian hanya mengesan pencemaran logam itu pada 2010 melibatkan air mentah dengan kawasan paling teruk juga di Kota Bharu.

No comments:

Popular Posts

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails