
Telur itu memiliki saiz yang luar biasa di samping bentuknya tidak bulat dipercayai berlaku disebabkan penyakit.
 
Kekalutan yang timbul daripada isu telur tiruan itu membuktikan telur masih penting dalam diet harian rakyat Malaysia.
 
Sebelum ini, telur dianggap salah satu makanan paling mengelirukan dari segi kesihatan. 
 
Mula-mula ia dikatakan sihat dan sumber protein. Kemudian, telur  didapati mengandungi kolesterol dan semua orang beranggapan mengambil  telur akan menyebabkan mereka diserang sakit jantung. 
 
Tidak lama selepas itu, penemuan membuktikan kolesterol dalam telur  adalah ‘neutral’ dan kita disarankan mengambil beberapa biji telur  sehari. 
 
Namun, penemuan pada tahun 2008 oleh penyelidik di Universiti  Harvard, Amerika Syarikat mendapati pengambilan sebanyak tujuh biji atau  lebih telur dalam seminggu meningkatkan risiko kematian. 
 
Daripada 21,000 lelaki yang dikaji selama lebih 20 tahun mendapati  1,550 orang diserang sakit  jantung, 1,342 mendapat strok dan 5,000  meninggal dunia. 
 
 Di Malaysia, sukar untuk menentukan secara tepat bilangan telur yang  diambil oleh  rakyat negara ini  kerana mereka turut mengambilnya  secara tidak langsung  seperti dalam kuih-muih, roti  dan makanan lain.
 
Bagaimanapun, perangkaan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar  menunjukkan pada tahun lalu sebanyak 10 bilion biji telur ayam dan itik  dihasilkan di negara ini.
Tiga biji 
 
Menurut pakar pemakanan dari Program Dietetik, Universiti Sains  Malaysia (USM), Shariza Abd. Razak, apa sahaja  makanan yang diambil  secara tidak terkawal ditambah gaya hidup yang tidak sihat pasti  mendatangkan risiko penyakit kepada individu terbabit.
 
Beliau menasihatkan  pengguna supaya mengambil  tidak lebih daripada tiga biji telur ayam seminggu.
 
“Bagi mereka yang tidak menghidap   penyakit seperti tekanan darah  tinggi dan hiperlipidemia atau penyakit kardiovaskular, mereka  tidak  perlu mengikut had yang disarankan, cukup dengan mengambil makanan   seimbang.
 
“Malah kajian terbaru mengatakan pengambilan telur bagi individu  normal membantu mengimbangkan kandungan kolesterol dalam badan,”  ulasnya.
 
Telur juga mengandungi kesemua asid amino yang diperlukan oleh badan selain vitamin A, B12, D, asid folik, kolina dan kalsium.
 
Ia juga mengandungi asid lemak omega 3 yang membantu meningkatkan   kandungan kolesterol baik  dan mengurangkan risiko sakit jantung.
 
“Sungguhpun begitu, jika seseorang menghidap penyakit kardiovaskular  tetapi sangat meminati telur, mereka disarankan mengambil bahagian  putihnya sahaja.
 
“Pengambilan secara mentah pula  tidak digalakkan kerana  berkemungkinan mengandungi kuman Salmonella yang boleh menyebabkan  keracunan makanan,” ujar  Shariza lagi.
 
Shariza menambah, sebaik-baiknya telur direbus dan tidak digoreng kerana ia akan menambah kandungan lemak dan kalori.
 
Sejak dahulu lagi, telur sering dikaitkan sebagai salah satu makanan  afrodisiak dan mampu meningkatkan tenaga seksual kaum lelaki lebih-lebih  lagi telur ayam kampung yang bebas kimia.
 
Bagaimanapun, Shariza berkata tiada bukti saintifik mengatakan telur dapat meningkat kesihatan seksual. 
 
Tetapi secara logik, jika kita makan makanan yang berzat, tubuh akan berfungsi secara optimum.
“Telur pula merupakan makanan lengkap yang diperlukan oleh badan, jadi pengambilannya boleh menyihatkan tubuh,” katanya.
 
Bagi atlet bina badan, telur merupakan makanan yang disyorkan kerana kandungan proteinnya.
 
Namun, ia juga perlu disertakan dengan corak pemakanan yang betul dan rutin senaman yang berkala bagi membina otot.
 
Shariza menambah, bagi mereka yang sentiasa mengalami kekangan waktu  untuk mengambil sarapan, mereka disarankan mengambil sebiji telur  sehari.
 
“Ia sudah cukup untuk membekalkan sebanyak 70 kalori dan   mengenyangkan,” katanya.
 
Sebiji telur dianggarkan mengandungi lima gram protein serta merangkumi 12 peratus daripada keperluan protein harian.
 
Jika pengambilan protein terlalu tinggi, ia akan menyebabkan penghasilan keton.
 
“Keton merupakan  bahan toksik kepada tubuh yang boleh mengakibatkan  ginjal dan buah pinggang mengalami beban untuk mengeluarkannya daripada  badan.
 
“Selain itu, ia akan memberi tekanan terhadap jantung dan berhadapan  risiko penyahhidratan akibat proses tersebut,” kata Shariza lagi.
 
Namun, risiko pengambilan lebihan protein adalah rendah kecuali  kepada atlet yang terlibat dengan sukan tertentu kerana mereka  memerlukan  protein dalam jumlah yang besar.
 
Di pasaran, banyak produk telur didakwa memiliki kandungan  asid lemak omega 3 yang  baik untuk kesihatan.
 
Menurut Shariza, telur tersebut biasanya mempunyai kandungan omega 3 tinggi sedikit daripada telur biasa.
 
Ulasnya, telur tersebut terhasil oleh cara penternakan ayam melalui pemberian makanan yang telah diformulasikan.
 
“Jika individu yang serius untuk meningkatkan pengambilan omega 3,  lebih baik mereka  mengambil hidangan ikan kerana ikan mengandungi asid  lemak itu dalam kadar yang lebih tinggi,” ulasnya.