Monday 9 May 2011

Bebaskan anak daripada malnutrisi

MASALAH malnutrisi dalam kalangan kanak-kanak sering dipandang ringan oleh segelintir ibu bapa. Walaupun masih ramai yang mempunyai persepsi malnutrisi merujuk kepada kekurangan makanan yang menyebabkan tubuh menjadi kurus kering, hakikatnya ia perlu diperbetulkan.

Ini kerana malnutrisi juga merangkumi kanak-kanak yang dibelenggu dengan masalah obesiti apabila pengambilan diet yang tidak berkhasiat.

Berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan Ketiga pada tahun 2006, sebanyak 15 peratus daripada kanak-kanak Malaysia mengalami kekurangan berat badan atau terbantut manakala, 5.4 peratus lagi didapati berlebihan berat badan.

Kajian lain turut melaporkan peningkatan ketara bilangan kanak-kanak yang berlebihan berat badan atau obes.

Menurut Pengerusi Ahli Jawatankuasa Pemandu Kebangsaan Bulan Pemakanan Sihat Malaysia (NMM), Dr. Tee E Siong, statistik tersebut agak membimbangkan kerana walaupun dilihat kecil tetapi, masalah malnutrisi tidak boleh dipandang ringan.

Jejaskan tumbesaran

"Kanak-kanak prasekolah dan sekolah rendah merupakan golongan paling berisiko terhadap kesan malnutrisi kerana mereka sedang membesar serta mengalami perkembangan fizikal, mental, emosi dan sosial pada peringkat ini.

"Berlebihan atau kekurangan pemakanan boleh menjejaskan tumbesaran, perkembangan dan kesihatan kanak-kanak lebih-lebih lagi mereka yang mengalami obesiti. Ini kerana mereka terdedah kepada risiko penyakit darah tinggi, diabetes dan kardiovaskular pada usia muda," katanya pada majlis pelancaran NMM bertemakan Kanak-kanak Sihat, Negara Lebih Sihat - Mulakan Awal baru-baru ini.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Pemakanan Malaysia memberitahu, NMM merangka pelan tiga tahun yang menumpu kepada usaha meningkatkan status pemakanan kanak-kanak Malaysia yang memberi fokus kepada kanak-kanak berusia dua hingga tujuh tahun.

"Kami percaya bahawa mesej mengenai pemakanan secara sihat perlu disampaikan kepada kanak-kanak sejak usia muda," katanya sambil menggesa para ibu bapa untuk meningkatkan pengetahuan tentang pemakanan sihat dan mengubah tabiat pemakanan anak-anak mereka.

Dalam pada itu, turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Dr. Anjli Doshi-Gandhi, Presiden Persatuan Kajian Obesiti Malaysia, Profesor Dr. Mohd. Ismail Noor dan Presiden Persatuan Dietitian Malaysia, Tan Yoke Hwa.

NMM turut melancarkan dua penerbitan utama NMM bagi tahun 2011 iaitu buku resipi Hidangan Berkhasiat - Resepi Mudah Untuk Si Manja Yang Sedang Membesar untuk ibu bapa dan buku kerja Ceria Dengan Gaya Hidup Sihat untuk kanak-kanak.

Menurut Anjli, kesihatan dan kebahagiaan adalah seiring kerana tanpa kesihatan sukar mencapai kebahagiaan. Justeru, status pemakanan mampu mempengaruhi kesejahteraan sesebuah keluarga.

"Bulan Pemakanan Sihat Malaysia adalah pelengkap kepada usaha kami untuk memperkasakan ibu bapa muda untuk membina keluarga yang lebih sihat," katanya.

Ujar Anjli, pengabaian gaya hidup sihat turut disumbangkan oleh perubahan gaya hidup dan kekurangan masa berkualiti yang dihabiskan bersama keluarga.

"Masa berkualiti merupakan cabaran getir yang dilalui oleh semua keluarga ketika ini. Kita tidak dapat menafikan bahawa masa berkualiti bersama keluarga mampu meningkatkan kestabilan dan kebahagiaan keluarga.

"Contoh masa berkualiti yang dihabiskan dapat dilihat dengan duduk bersama untuk makan sekurang-kurangnya sekali sehari atau membawa anak-anak anda ke taman permainan untuk beriadah," katanya.

NMM merupakan program pemakanan ulung yang disambut setiap bulan April sejak tahun 2002. Ia dianjurkan bersama Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM), Persatuan Dietitian Malaysia dan Persatuan Kajian Obesiti Malaysia.

No comments:

Popular Posts

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails