Tuesday 6 December 2011

Ibu Bapa Terlalu Sibuk, Anak Terabai

Menurut Abdullah Nasih Ulwan, antara faktor terbesar yang menyebabkan anak-anak terpesong haluannya ialah kerana ibu bapa tidak melakukan kerja pendidikan. Mereka fikir bahawa tugas mereka selesai dengan memberikan makanan dan pakaian yang cukup. Selebihnya mereka serahkan kepada sekolah, atau Pasti.

Malang sungguh tanggapan begini. Binatang seperti harimau pun tahu tanggungjawabnya mendidik. Harimau tidak membiarkan anak-anaknya membesar tanpa dia mendidik dan melatih mereka terlebih dahulu. Harimau mendidik anak tentang bagaimana memburu binatang. Apabila si ibu memburu, dia sengaja tidak terus membunuh buruannya untuk dijadikan santapan.

Sebaliknya, dia hanya mencederakan buruan itu. Maka binatang buruan itu terus cuba melepaskan diri sambil lari terhencot-hencot kerana kakinya sudah cedera. Pada waktu inilah, si anak-anak harimau tadi berlatih mengejar dan menangkap buruan. Binatang buruan yang cedera itu menjadi alat pendidikan secara praktikal. Si ibu pula hanya memerhatikan bagaimana anak-anaknya berlatih. Selepas beberapa siri latihan, dan anak-anak harimau tadi sudah cekap, barulah mereka dibiarkan berdikari mencari rezekinya sendiri.

Jika harimau pun tahu tanggungjawab mereka, bagaimana pula ada ibu bapa sanggup mengabaikan pendidikan anak-anak. Harimau mahu anaknya mampu menangkap buruan, maka dia rela menghabiskan masanya melatih anak itu. Yang peliknya, manusia pula mahu anaknya cemerlang, berjaya dan soleh, namun tidak berusaha ke arah itu. Mereka langsung tidak perasan bahawa diri mereka adalah sebenarnya seorang 'pendidik'.

Mendidik Bukan Menternak!

Ibu bapa perlu ingat bahawa mereka berperanan untuk mendidik anak, bukan sekadar 'menternak' anak-anak. Allah menjadikan anak-anak itu sebagai amanah yang amat berharga. Jangan sia-siakan mereka. Mereka bukannya makhluk yang boleh membesar hanya dengan makan dan pakai yang cukup. Mereka punya jiwa dan hati, juga punya nafsu dan perasaan. Kantung kalbu mereka tidak boleh dibiarkan kosong. Jika ibu dan bapa tidak berusaha untuk mengisi kantung kalbu itu dengan iman dan ihsan, nescaya virus-virus perosak akan menyelinap masuk dan merosakkan pekerti anak-anak. Jiwa mereka punya potensi untuk menjadi manusia sebaik malaikat. Namun, nafsu mereka juga ada potensi menjadikan mereka sejahat syaitan.

Kita sering dengar Hassan Al-Banna sebagai seorang pendakwah hebat. Buku Cinta di Rumah Hassan Al-Banna.

Maka 'sibuk' itu bukan alasannya. Kita memang dilahirkan di dunia ini untuk menjadi orang sibuk. Orang yang tidak sibuk ialah orang yang cuai, lalai dan mundur. Maka semua kita perlulah sibuk. Maknanya, orang-orang yang pernah berjaya melahirkan anak-anak yang hebat juga dulunya sibuk, seperti kita. Soalnya kita sibuk dengan apa? Bukankah 'mendidik anak' itu salah satu tugas kita dalam senarai fungsi-fungsi kita sebagai seorang 'bapa' dan 'ibu'?

Orang sibuk dan bijak akan menyenaraikan fungsinya. Fungsi kita bukan sekadar 'pengarah syarikat', 'pegawai kewangan', 'jurutera kanan', 'pakar perbidanan', 'setiausaha persatuan' atau seumpamanya. Fungsi kita juga perlu senaraikan fungsi-fungsi kita sebagai 'anak kepada ibu bapa', 'suami', 'isteri', 'bapa', dan 'ibu'. Selepas fungsi disenaraikan, kita perlu pula mencatatkan tugas-tugas kita bagi setiap fungsi itu. Maka tugas 'mendidik anak' itu satu tugas besar, dan sangat penting – walau pun biasanya tidak 'urgent' – yang perlukan ruangan masa yang panjang.

Artikel iluvislam.com

No comments:

Popular Posts

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails