Sunday 16 May 2010

CORETAN 16 Mei 2010

16 Mei 2010, tanggal keramat bagi insan bernama guru kerana pada tarikh ini semua orang tahu bahawa hari ini adalah Hari Guru Malaysia "Guru Pembina Negara Bangsa". Pada kesempatan ini saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada insan yang pernah mengajarku sewaktu ku mula hendak mengenali huruf A B C iaitu guru-guru di Sekolah Kebangsaan Sungai Bagan Labok Machang Kelantan.

Mereka (Guru) yang masih ku ingati dan terkesan sekali semasa mengajarku di SK Sg Bagan ini ialah Cikgu Soh (sekarang masih ada lagi ke tidak), beliau mengajarku subjek Bahasa Melayu darjah 1. Beliau lah yang mula-mula mengajarku mengenal huruf A B C, masih ku ingat lagi lagu-lagu yang beliau ajar melalui pengajaran dan pembelajarannya;

Bunyinya macam ni;
Anak rusa nani baru kembar ekor,
Apa dosa kami lalu tidak tegur.
Buah jambu masak, masak hujung julai,
Apa jamu kakak, nasi dengan gulai.

Dan masih banyak lagi yang beliau ajar sampai terkesan hingga sekarang; Pak Cik Kordi dll. Terfikir sejenak.. Kenapa guru sekarang tidak seperti guru dulu ye?

Jika hendak diceritakan kisah semasa di Sekolah Rendah, masih ramai lagi guru yang paling ku ingati; antaranya ialah Ustaz Mad yang mengajar subjek Pendidikan Islam. Dalam pengajarannya beliau selalu menggunakan kaedah pertanyaan dan soal jawab. Sasaran utama semasa mengajar di kelas ialah diriku kerana beliau tahu aku seorang yang lemah dalam subjek ini. Soalan yang selalu beliau tanyakan berkenaan dengan tajwid; Qalqalah Sugra dan Kubra. Beliau lah yang banyak mendidik ilmu agama ke dalam diriku sehingga hati ini mulai terpikat dan minat untuk mempelajari ilmu2 agama dengan lebih mendalam lagi.

Lalu ku teruskan langkah menyambung ke Sekolah Menengah Agama Syamsul Maarif dan kemudian ke Maahad Muhammadi Lil Banin Pengkalan Chepa.
Di Maahad Muhammadi ini telah ramai ku temui guru-guru yang berkaliber dan berwibawa. Ustaz Nik Abdul Kadir umpamanya yang menjawat sebagai Pengetua pada ketika itu menjadi idolaku. Beliau berpewatakan alim, warak dan pemurah. Semua staf, guru dan warga Maahad amat segan dan menghormati beliau kerana kewarakan beliau ini. Beliau telah banyak membimbing dan menunjuk jalan bagiku untuk terus melangkah di bumi ini. Bukan sahaja menasihatiku malah beliau juga banyak menyumbangkan material (kewangan) kepada ku untuk meneruskan pengajian kerana pada ketika itu dalam kesusahan dan kesulitan disebabkan pemergian kedua orangtua tercinta ke alam baqa'.

Sesungguhnya jasa dan sumbangan beliau terhadapku tidak akan terbalas hingga sekarang dan hanya Allah yang dapat membalasnya. Patutlah orang pemurah ini Allah akan murahkan rezekinya. Selang beberapa tahun beliau telah diangkat darjatnya sebagai Penolong Pengarah Yayasan Islam Kelantan. Beliau berkhidmat di situ selama beberapa tahun hingga pencen. Begitulah sedikit sebanyak coretan guru sempena hari guru ini.

Pada kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan SELAMAT HARI GURU kepada semua guru-guruku yang terbaca coretan ini dan yang pernah mengajarku walau di mana dikau berada. Jasamu tidak akan dilupa dan hanya Allah yang dapat membalasnya;

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
"Apabila meninggal anak Adam, maka terputus semua amalan kecuali 3 perkara;
1. Sedeqah Jariah
2. Ilmu yang bermanafaat (Ilmu yang disampaikan oleh guru)
3. Anak yang Soleh.

Maka beruntung dan bersyukurlah kita dilahirkan sebagai guru kerana ilmu yang kita sampaikan itu akan mengalir terus dari generasi ke generasi akan datang (ilmu tidak akan putus).

"Kerana bermula daripada guru lah saya menjadi guru seperti sekarang..."
SELAMAT HARI GURU
"GURU PEMBINA NEGARA BANGSA"

"JIKA GURU-GURUKU TAHU BAHAWA MURIDNYA INI BERADA DI SINI, SUDAH PASTI MEREKA JUGA TURUT BERBANGGA DENGAN PENCAPAIAN DAN KEJAYAAN MURIDNYA INI" DI MANAKAH GURU-GURU KU YANG KUSANJUNGI DULU?
OH TUHAN TOLONG PERTEMUKAN DENGAN MEREKA YANG BANYAK BERJASA DAN MENYULUH SINAR (NUR) KEPADAKU, KU INGIN TEMUI, PELUK DAN TATAPI WAJAH MEREKA DI HARI GURU INI"

No comments:

Popular Posts

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails